Pasangan yang sempurna adalah impian setiap mereka yang ingin berkahwin. Sempurna dari sudut agama, akhlak, fizikal, kewangan dan sebagainya. Kesempurnaan ini akan menjadikan rumahtangga yang dibina berkekalan sehingga ke hujung nyawa.

Kesempurnaan akan boleh dikecapi bila mana setiap individu cuba menjadi yang terbaik dalam diri mereka sendiri. Dan pastinya apabila kita telah membina akhlak yang terbaik dalam diri, pastinya Allah akan menyediakan pasangan yang sesuai dengan kita. Kesempurnaan juga tidak akan boleh dikecapi secara bersendirian dalam rumahtangga. Perkahwinana adalah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Oleh kerana itulah dalam perkahwinan setiap individu mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Islam amat menggalakan perkahwinan kerana ianya dapat menghilangkan kemudaratan yang besar seperti terlibat dengan gejala zina. Hadis nabi s.a.w. yang menyeru untuk bernikah jika sudah berkemampuan jelas memberitahu kepada semua golongan muda bahawa pernikahan merupakan jalan selamat kepada penyelesaian masalah emosi dan nafsu.

Apa yang paling utama dalam perkahwinan ialah melengkapkan diri dengan ilmu. Dengan ilmu akan lahirnya tanggungjawab. Ilmu perkahwinan boleh didapati melalui pembacaan, bertanyakan kepada mereka yang lebih tua dan dihormati dalam masyarakat ataupun melalui pemerhatian. Ini amat penting kerana ianya adalah sebahagian daripada persediaan sebelum memasuki alam perkahwinan.


Perkahwinan adalah pelayaran sebuah bahtera. Diketuai nakhoda yang perlu bijak dalam memilih waktu pelayaranya. Nakhoda tidak boleh bergerak seorang diri. Dalam pelayaran, masa adalah elemen paling penting.

Perkahwinan adalah penghubung ikatan persaudaraan. Merapatkan ukhwah dan membina silaturahim. Memupuk perasaan kasih dan sayang di dalam keluarga besar yang bakal dibina.

Perkahwinan adalah proses pembelajaran yang mana gurunya ialah pengalaman. Pengalaman bersabar, berkomunikasi, mendidik dan pelbagai lagi yang tidak pernah diajar secara rasmi mahupun formal.

“Perkahwinan itu perlu dibina. Dibina dengan rasa kasih, sabar, toleransi, komunikasi yang tepat, ekonomi yang kukuh dan paling utama agama”.

Perkahwinan adalah amanah dan tanggungjawab yang sangat besar.

Ujian dalam perkahwinan

Setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kepada faktor-faktor yang telah difikirkan seperti keadaan sekeliling, hubungan dua keluarga, anak-anak dan sebagainya. Keputusan yang dibuat pasti akan mempunyai risiko baik dan buruknya. Namun itu semua adalah pengajaran dalam kehidupan yang akan mematangkan seseorang. Ujian dalam perkahwinan adalah perkara fitrah yang perlu dilalui oleh setiap pasangan. Apa yang paling penting ialah bagaimana cara mereka berhadapan dengan ujian tersebut.

Antara pendekatan yang boleh diambil bagi pasangan yang berhadapan dengan masalah dalam perkahwinan ialah dengan memanggil orang tengah atau pihak ketiga. Pihak ketiga mestilah mereka yang boleh mendengar dan membantu pasangan menyelesaikan masalah pasangan. Antara mereka yang sesuai menjadi orang ketiga ialah ibu bapa, kaunselor, individu yang dihormati, ketua masyarakat dan sesiapa yang difikirkan sesuai. Apa yang paling utama, mereka ini semua perlulah adil dalam mendengar dan menyelesaikan masalah.

Jabatan agama Islam ada menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pasangan yang memerlukan.

Penceraian

Jalan terakhir yang boleh diambil oleh pasangan yang buntu dalam mencari jalan penyelesaian ialah melalui penceraian. Pembubaran perkahwinan boleh berlaku dalam banyak cara seperti talak, fasakh, khuluk dan lian.

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ

“Talak (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.” 

Pelajar diminta untuk menyediakan satu video klip pendek untuk menerangkan keadaan hukum talak (wajib, sunat, makruh, haram). Pelajar boleh menggunakan sebarang aplikasi untuk menyediakan video tersebut. Durasi masa adalah diantara 1-2 minit SAHAJA. Konsep video adalah seperti video tiktok. Perlu dihantar kepada saya sebelum jam 11.59pm Isnin 20 Septermber 2021.

Talak tidak boleh dilafazkan dengan sewenang-wenangnya. Lafaz talak diluar mahkamah boleh dikenakan denda. Oleh yang sedemikian, suami perlulah memikirkan dengan mendalam sebelum melafazkan talak kepada isteri.

Talak adalah hak suami. Namun isteri perlu tahu hak mereka supaya tidak ditipu.

Walaupun talak adalah hak suami, namun mereka mesti tahu tanggungjawab mereka ketika dalam tempoh masa iddah. Inilah pentingnya ilmu perkahwinan yang perlu dipelajari oleh pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga. Sekiranya pihak isteri mendapati si suami tidak ingin menceraikan mereka, maka pihak isteri bolehlah menggunakan alternatif lain iaitu fasakh. Pembubaran perkahwinan melalui fasakh adalah melalui kuasa hakim dengan sebab -sebab tertentu. Harus isteri memohon fasakh melalui hakim sekiranya didapati si suami tidak menjalankan tanggungjawab, seorang kaki pukul, suka menipu dan sebagainya. Walau bagaimanapun, semua alasan tadi mestilah dikemukakan dengan bukti yang kukuh supaya pihak hakim dapat membuat keputusan yang tepat.

Bersambung…

0 Comments

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *