Perintah Kawalan Pergerakan yang berlaku pada hari ini telah membuka banyak dimensi baru dalam kebanyakan sektor di negara kita. Sektor pendidikan antara sektor yang mendapat banyak cabaran dari sudut pelaksanaanya. Sektor ini merupakan antara yang paling penting selepas ekonomi dan kesihatan. Sektor ini perlu digerakkan dalam apa jua keadaan supaya negara dapat melahirkan masyarakat serta generasi yang berilmu.

Pendidikan perlu diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Kerana dengan pendidikan akan lahir individu yang berilmu dan individu akan membentuk masyarakat yang bertamadun. Pelbagai kaedah diwujudkan bagi memastikan penyampaian ilmu dapat diteruskan dalam apa jua keadaan. Penyampaian melalui atas talian adalah salah satu inisiatif yang digunakan pada waktu ini. Pelbagai platform menjadi pilihan guru seperti aplikasi Zoom, Webex, Google Meet, Whatsapp dan sebagainya. Ramai juga yang menjadikan TikTok dan Youtube sebagai medium menyampaikan pengajaran.

Namun apa yang paling utama pada waktu ini ialah bagaiamana komunikasi berlaku antara guru dan pelajar. Komunikasi ini yang menjadi penentu adakah pelajar faham apa yang guru sampaikan atau sebaliknya. Komunikasi digital tidak semudah komunikasi secara bersemuka. Penerimaan pelajar akan berbeza-beza mengikut cara kefahaman mereka. Jadi guru perlu lebih peka dalam menyampaikan arahan atau tugasan kepada pelajar apabila menggunakan komunikasi digital. Komunikasi digital memerlukan arahan yang lebih jelas dan tersusun. Sekiranya berlaku kekeliruan, maka hasilnya pastilah tidak seperti yang diinginkan. Maka disinilah peranan ibu bapa dalam membantu anak-anak memahami tugasan atau arahan yang diberikan guru. Penglibatan ibu bapa dalam memastikan anak-anak menyiapkan tugasan adalah sangat penting.

Sekarang adalah masa yang paling tepat dan sesuai untuk mengharmonikan kerjasama antara guru dan ibu bapa. Kerjasama ini akan melahirkan insan yang berakhlak dan berilmu. Ibu bapa memainkan peranan membantu anak-anak menyiapkan tugasan. Dalam masa yang sama memberi input-input tambahan daripada apa yang disampaikan guru. Situasi ini pasti akan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokan dikalangan anak-anak. Guru perlu bijak dalam menyediakan tugasan kepada pelajar supaya setiap ahli keluarga di rumah turut terlibat dalam membantu anak-anak menyiapkan tugasan. Secara tidak langsung, budaya ini dapat memupuk kasih sayang yang erat sesama ahli keluarga.

Idea tugasan aktiviti dirumah antara pelajar dan ahli keluarga.

Peranan guru dan ibu bapa adalah sama, iaitu membentuk generasi yang berakhlak dan berilmu. Jika mereka tidak mempunyai titik persamaan bagaimana mereka dapat melahirkan generasi tersebut. Oleh kerana itu ibu bapa dan guru perlu berkerjasama agar anak-anak merasakan bahawa mereka sentiasa dikelilingi oleh individu-individu yang inginkan yang terbaik daripada mereka.

Penglibatan ibu bapa semasa proses anak-anak menyiapkan tugasan akan menjanjikan pengalaman pembelajaran yang sangat bermakna. Apa yang paling penting ialah sokongan dari ahli keluarga akan memberikan kesan positif kepada perkembangan anak-anak. Justeru itu, kerjasama guru dan ibu bapa perlu diperkukuhkan supaya pendidikan holistik dapat diteruskan.

0 Comments

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *